Tajuk : SUMBER-SUMBER HUKUM ‘URUF (ADAT)
pengenalan
Banyak buku-buku yang menyatakan tentang definisi uruf sama ada dari sudut bahasa ataupun istilah. Maka, di sini dapat disimpulkan, uruf dari sudut bahasa ialah adat atau perkara yang senang diterima pada perasaan manusia. Manakala, sudut istilah pula, apa sahaja yang diketahui oleh manusia dan mereka mempraktikannya dalam kehidupan, baik rupa perbuatan, perkataan atau apa yang mereka tidak melakukannya. Justeru itu, sesetengah ulama’ tidak membezakan antara uruf dengan adat kebiasaan.
Dalam kitab Perkembangan Fiqh Islam (1996) menunjukkan dalil bahawa uruf diambil kira dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“ Sesuatu yang dilihat oleh orang-orang islam sebagai baik, maka di sisi Allah ia adalah baik. Apa-apa yang dilihat oleh orang-orang islam sebagai buruk, maka di sisi Allah ia adalah buruk.” (diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya secara mauquf kepada Abdullah bin Mas’ud)
Apa yang disebut di atas adalah di antara dalil-dalil syarak yang penting di sisi ulama mazhab Hanafi. Mereka berkata: “ setiap perkara yang didatangkan oleh syarak secara mutlak di mana syarak dan bahasa tidak meletakkan garis panduan mengenainya, maka ia hendaklah dirujuk kepada uruf”.
isi kandungan
Walaupun sesetengah ulama menyamakan antara uruf dengan adat, namun ada juga segelintir juga ulama yang membezakan tentang perkara ini. Antaranya ialah adat kadang-kala lahir daripada orang perseorangan atau juga lahir daripada orang ramai, tetapi uruf hanya lahir daripada orang ramai atau kumpulan sahaja. Selain itu, adat adalah dengan bersumberkan akal fikiran atau naluri, tabiat atau sesuatu peristiwa khusus, tetapi uruf pula hanya dengan berdasarkan fikiran sahaja.
Menurut Prof Dr. Yusuf al-Qardawi (2000) dalam kitabnya Kesempurnaan & Keunggulan Syariat Islam, beliau menyatakan lagi terdapat dua pembahagian uruf melalui perkataan (qauli) dan juga perbuatan (amali) umum atau khusus. Uruf perkataan ialah uruf yang berkaitan dengan penggunaan perkataan untuk makna-makna yang sudah menjadi kebiasaan orang ramai. Contohnya, penggunaan lafaz al-walad hanya untuk anak lelaki, tidak kepada anak perempuan. Manakala, uruf berbetuk perbuatan ialah uruf yang berkaitan dengan perbuatan-perbuatan yang sudah menjadi kebiasaan orang ramai atau muamalat harta mereka. Contohnya, orang ramai menyuruh anaknya yang belum baligh membeli barang yang kecil seperti kicap, gula dan sabun. Jual beli itu dilaksanakan dengan menunjuk-nunjuk tanpa lafaz sgihah iaitu ijab dan qabul.
Dalam aspek kehujahan uruf ini ialah apa yang dimaksudkan dengan kehujahan dan menerima uruf sebagai sumber hokum ialah beramal dengannya. Uruf tidak dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil dan hukum syarak yang tetap dan tidak berubah walaupun suasana dan adat berubah. Justeru itu, mana-mana uruf yang bertentangan dengan nas atau hokum mestilah sama-sama kita berusaha untuk mengahpuskannya dan meninggalkannya.
Ulama Hanafi dan Maliki menerima ‘uruf sebagai hujah hukum. ‘Uruf yang betul dan tidak bertentangan dengan syarak mestilah diambil kira dalam pembinaan hukum dan membuat keputusan. Justeru itu, para mujtahid mestilah menilainya dalam membuat keputusan. Contohnya, syarak mengambil kira dan menjaga adat kebiasaan orang Arab yang baik serta tidak bertentangan dengan hukum seperti mewajibkan bayaran diat terhadap ahli keluarga pembunuh. Adapun ‘uruf yang fasid dan bertentangan dengan syarak tidak boleh diikuti sama sekali. Ulama mujtahid mestilah meninggalkannya dalam mengeluarkan keputusan. Ini kerana uruf tersebut bertentangan dengan dalil syarak dan juga menyebabkan terbatalnya hukum syarak. Contohnya, amalan riba yang berlaku dalam adat masyarakat jahiliyyah terus diharamkan dalam syariat.
Menurut Sobhi Rajab Mahmassani dalam kitab falsafah perundangan Islam (2009) menjelaskan sebagaimana ia sesuatu keadaan yang berbeza tempat, maka adat istiadat juga berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain, sesuai mengikut peredaran zaman dan tempat. Antaranya, persoalan menutup kepala (dengan serban, songkok bagi lelaki, dan tudung bagi perempuan) misalnya, asy-syatibi dalam analisisnya mengatakan bahawa di sini terjadi perbezaan persepsi antara pelbagai masyarakat di serata dunia. Bagi kalangan mereka yang beretika masyarakat Timur, tidak menutup kepala dianggap suatu yang tidak sopan dan menimbulkan persepsi yang buruk terhadap orang berkenaan.
contoh-contoh
Contoh perbezaan adat istiadat yang lain ialah kebiasaan memakai cincin kepada pasangan saat bertunang. Dalam beberapa tempat, cincin tunangan dipakaikan di jari kanan, kemudian baru akan dipindah ke tangan kiri pada saat waktu pernikahan. Namun di beberapa tempat yang lain, kebiasaan ini dilakukan dengan cara yang sebaliknya. Maka, hal ini tentu sahaja bertentangan dengan kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat-masyarakat yang lain.
Di samping itu juga, terdapat pengaruh adat dalam syariah Islam, yang mana bangsa arab sebelum Islam merupakan masyarakat yang selalu menjadikan kebiasaan dan adat sebagai dasar dasar bagi seluruh kehidupan mereka, mencakupi agama, nilai-nilai akhlak dan sebagainya. Maka, setelah kedatangan Islam, adat ini digantikan oleh nas-nas yang ada dalam al-Quran dan hadis sebagai dasar penetapan antara hukum, sehingga mengurangi pengaruh adat. Antara pengaruh yang terpenting ialah banyak nas terutamanya hadis yang menggunakan adat kebiasaan sebagai dasar utama. Selain itu, banyak Sunnah taqririyyah (ketetapan Nabi) yang diambil dari adat istiadat arab pra-Islam yang dianggap baik. Apa yang pasti, banyak perkara yang didiamkan oleh Nabi tanpa menyuruh mahupun melarangnya, yang kemudian diterima sebagai kebiasaan islam berdasarkan sunnah Nabi.
syarat-syarat
Dalam kitab penghantar Usul Fiqh dan juga kitab Falsafah Perundangan Islam (2009) menyatakan bahawa setiap sesuatu perkara mempunyai syarat-syaratnya. Maka, di sini penulis menyimpulkan syarat-syarat yang terkandung dalam penerimaan uruf Antaranya;
Pertama: Sesuatu uruf itu diamalkan secara berterusan di dalam semua masalah atau diamalkan pada kebanyakkan masalah, walaupun tidak pada semua masalah.
Kedua: Uruf itu wujud dan diamalkan ketika melakukan tindakan, sama ada berupa uruf perkataan atau perbuatan.
Ketiga: Uruf itu tidak menyalahi dalil syarak dan kaedah asas. Hal ini ditegaskan dalam al-Majami’ bahawa adat kebiasaan tidak boleh diterima sebagai alasan hukum jika bertentangan dengan ketentuan nas dari pakar hokum Islam (Fiqh).
Keempat: Uruf itu mestilah diamalkan oleh orang ramai.
Maka, ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t menyerahkan penyelesaian persoalan itu kepada ‘uruf manusia, sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibnu Qudamah dan ulama bermazhab Hambali lainnya (Kitab al-Mughni, jilid 3). Para fuqaha’ umumnya telah menyebutkan tentang al-uruf dan mereka meletakkan banyak ketetapan hukum melalui uruf’.
Di antara kaedah-kaedah fiqh yang terkenal dalam kitab al-Asybah wa an-Nazha’ir yang dikarang oleh Ibnu Nujaim ialah adat boleh menjadi hokum. Dan di antara cabang kaedah itu adalah: Terjemahannya:
“ Setiap yang biasa dikenali itu dikira sebagai ‘uruf, sepertimana setiap yang dijadikan syarat itu dikira sebagai syarat.” Penjelasan dengan uruf (keadaan semasa) seumpama penjelasan dengan nas (dalil-dalil). “Perkara tegahan dalam kebiasaannya adalah seperti perkara tegahan sebenar-benarnya”.
Agama datang membawa keringanan menolak kesempitan dan kesulitan dari umat manusia. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah: 185 bermaksud:
“…..(dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran..”
kesimpulanMaka, jelas di sini bahawa, uruf itu hanya akan diakui apabila ia tidak bertentangan dengan nas yang sah atau ijma’ yang diyakini kebenarannya dan jangan ada disebalik suatu kemudharatan yang sama sekali tidak bercampur manfaat atau mudharat yang kuat. ‘Uruf yang bertentangan dengan nas-nas yang sah, yang menghalalkan yang haram dan membatalkan segala yang wajib, atau mengakui segala perbuatan bid’ah di dalam agama Allah, atau menyebarkan kerosakan dan kemudharatan dalam kehidupan manusia, maka tidak boleh dianggap sebagai sandaran hukum atau sebagai dasar menetapkan aturan, fatwa dan peradilan. Ini kerana, semua aturan hukum yang dibangunkan di atas landasan uruf akan berubah mengikut peredaran masa dan tempat (Khallaf dalam kitab Ushul Fiqh halaman 91).
Secara keseleruhannya dari tajuk ini, jelas menunjukkan bukti-bukti melalui dalil al-Quran, hadis dan sebagainya sebagai menghuraikan tajuk serta penjelasan berkaitan contoh-contoh yang diberikan. Dan dalam setiap mazhab, kita dapat lihat pendirian seperti ini walaupun tidak sama, yang mana menunjukkan kepada kita tentang sejauh mana keluasan sesuatu sumber hukum yang terdapat dalam fiqah yang dihantarkan oleh Allah s.w.t. pada syariat ini, sehingga kini membuatkan syariat itu sesuai untuk semua lapisan masyarakat mengikut peredaran zaman dan tempat.
Rujukan
Muhammad Firdaus Nurul Huda. Kesan Perubahan sosial terhadap hukum Islam. 2002. Thinker’s Library Sdn. Bhd.
Mohd Asri Hashim. Perkembangan Fiqh Islam. 1996. Yayasan Islam Terengganu: Badak: Kuala Terengganu.
Rosmawati Ali. Penghantar Usul Fiqh.
Sobhi Rajab Mahmassani. Falsafah Perundangan Islam. 2009. Al-Hidayah publication. Kuala Lumpur: Selangor
Yusuf al-Qardawi. Keluasan & Kehebatan Syariat Islam. 2000. Al-Hidayah Publishers. Percetakan Putrajaya: Selangor.
p/s: artikel ni yang sy nak hantar pd pensyarah...moga dapat manfaat pd diri sy n orang lain...
No comments:
Post a Comment